KUALA LUMPUR:Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun  Razak supaya perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang berlangsung pada Rabu dibatalkan bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu melawat mangsa banjir.

Hakim, Collin Lawrence Sequerah berkata beliau telah sebaik mungkin memenuhi permintaan Ahli Parlimen Pekan itu sepanjang perbicaraannya namun beliau tidak akan membenarkan permohonan terbaharu Najib itu. 

“Permohonan anda ditolak. Perbicaraan akan berjalan seperti biasa,” katanya kepada mahkamah selepas peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan itu.

Kata Shafee, Najib terpaksa melawat mangsa banjir memandang keadaan di Pantai Timur yang semakin teruk dan jika Ahli Parlimen Pekan itu tidak melakukan lawatan tersebut, ia akan memberi gambaran buruk terhadap dirinya. 

Perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib disambung di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pagi ini selepas ditangguhkan selama empat bulan. 

Najib, 67, didakwa dengan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.